• Kes Kematian Difteria Di Sandakan Bukan Warganegara Malaysia

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+


    SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat penyakit Difteria di daerah ini pada 26 Julai lepas adalah bukan warganegara Malaysia, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

    Beliau berkata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 21 Julai selepas mengalami demam, batuk, selesema dan sakit tekak sejak 18 Julai.

    "Pesakit ini telah diberi rawatan anti-toksin difteria dan antibiotik serta ujian kultur swab tekak kes ini didapati positif bakteria Corynebacterium Diphtheria," katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya pemeriksaan mendapati status imunisasi kanak-kanak itu adalah tidak lengkap.

    Beliau berkata dua daripada 18 orang kontak yang tinggal dengan kes mengalami gejala ringan dan telah dirawat, manakala selebihnya telah diberi rawatan profilaksis.

    Dr Christina berkata tujuh kanak-kanak yang tinggal serumah telah menerima imunisasi difteria yang lengkap mengikut umur, sementara status imunisasi sebelas yang lain termasuk ibu bapa masih dalam siasatan.

    Katanya kontak dalam kalangan keluarga yang tinggal berdekatan juga adalah sihat dan telah diberi rawatan profilaksis.

    Difteria adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Corynebacterium diphtheria.

    Kuman disebarkan melalui titisan respiratori dan akan memberi risiko kepada orang lain, khususnya kanak-kanak yang kurang daya tahan tubuh dan mereka yang tiada antibodi kerana tidak mendapatkan imunisasi atau status imunisasi tidak lengkap.

    Dr Christina berkata imunisasi yang lengkap mampu mencegah jangkitan dan sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

    Beliau berkata ibu bapa dengan anak-anak di bawah umur tujuh tahun dinasihatkan agar menyemak semula status imunisasi anak-anak masing-masing dan memastikan mereka telah mendapat imunisasi lima serangkai yang lengkap supaya perlindungan optimum dapat diberikan.

    Menurut Dr Christina, langkah proaktif semua pihak akan dapat meningkatkan imuniti kelompok dan membendung kejadian Difteria daripada terus menjadi masalah kesihatan awam.

    Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan juga telah membuka Bilik Operasi Wabak Difteria pada Jumaat lepas yang beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kes Kematian Difteria Di Sandakan Bukan Warganegara Malaysia "