• Kerajaan Selangor perlu jadi `ayam jantan'

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Isu pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor, menggamatkan Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.

    Kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Gombak dari PKR, yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bertanya soalan melebihi waktu yang ditetapkan, selain beberapa kali mencelah jawapan menteri.

    Pada mulanya, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menjawab soalan tambahan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar), yang bertanya implikasi penangguhan beberapa kali pengambilalihan itu, selain kebenaran dakwaan Mohamed Azmin yang Kerajaan Persekutuan menekan Kerajaan Selangor menerusi kenaikan tarif air.

    Maximus berkata, penangguhan beberapa kali itu berpunca daripada kegagalan Kerajaan Selangor mengemukakan tawaran kepada SPLASH, menyifatkannya umpama mahu berkahwin, tapi tidak berani letak hantaran.

    Selesai menjawab soalan tambahan itu, Mohamed Azmin pula bangun bertanyakan soalan tambahan, selain cuba memberi penjelasan hingga melebihi waktu seminit yang dibenarkan, selain terpaksa diarah duduk dan berhenti berulang kali oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

    Mohamed Azmin bertanya mengenai tindakan Kerajaan Persekutuan tidak mengemukakan nilai pengambilalihan yang dikemukan penilai bebas, namun Maximus menegaskan nilai itu hanya untuk rujukan Kerajaan Persekutuan, selain tiada keperluan mendedahkannya kepada kerajaan negeri itu.

    Maximus turut 'mengajar' bagaimana kerajaan negeri boleh mendapatkan nilai pengambilalihan untuk ditawarkan kepada SPLASH.

    "Ini adalah laporan tahunan SPLAS diaudit pada Mac. Boleh tengok di sana berapa jumlah aset dan liabiliti. Tolak kedua-dua jumlah itu, dapatlah nilai syarikat. Jadilah ayam jantan, buat tawaran pada SPLASH," katanya.

    Kekecohan itu turut menyebabkan sesi MQT yang sepatutnya mengambil masa 30 minit, dilanjutkan lebih lima minit.- BHonline

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Selangor perlu jadi `ayam jantan' "