• Kerajaan Pastikan Pelaburan Asing Tidak Jejas Identiti, Peluang Rakyat - Mustapa

    Published: Saturday, 19 August 2017
    A- A+


    Kerajaan menerusi kekuatan serta kestabilannya akan memastikan pelaburan negara asing termasuk dari China tidak menjejaskan identiti serta peluang rakyat tempatan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata dakwaan kononnya negara ini tergadai menerusi pelaksanaan projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) juga tidak benar kerana China bukanlah pelabur terbesar di Malaysia.

    "China berada di kedudukan ke-11 dalam senarai pelabur asing di sini. Jepun merupakan pelabur terbesar dalam bidang pembuatan selain Singapura, Amerika Syarikat dan Jerman yang turut di kedudukan teratas berbanding China.

    "Malaysia juga banyak melabur di China seperti Parkson yang mempunyai lebih 60 pasar raya di China selain pelaburan oleh UMW Holdings Berhad, Sime Darby dan juga Khazanah Nasional di sana," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Bahagian itu, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid.

    Mengulas selanjutnya, Mustapa berkata kemasukan pelaburan negara asing adalah fenomena global yang tidak boleh dielakkan dan sejarah pelaburan asing di Malaysia telah bermula sejak 200 tahun lalu menerusi aktiviti perladangan getah dan perlombongan bijih timah oleh orang Inggeris.

    Malah, Jepun merupakan rakan pelaburan terpenting Malaysia sewaktu pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, namun soal kedaulatan negara tergadai tidak pernah dibangkitkan.

    "Sebaliknya pelaburan dari China menjadi kontroversi kerana (isu itu telah) diputarbelitkan. Kita kena beri penjelasan kepada akar umbi secara berterusan supaya rakyat tidak gelisah atau termakan tohmahan pihak pembangkang," katanya.

    Mustapa turut memberi jaminan bahawa kerajaan bertegas demi melindungi kepentingan rakyat tempatan dalam pelaksanaan projek mega membabitkan pelabur asing termasuk kuota 30 peratus dalam projek ECRL untuk kontraktor tempatan.

    Kerajaan juga mengotakan janji dengan memberi 50 peratus penyertaan kontraktor Bumiputera dalam pelaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang, katanya.

    "Kita sememangnya memantau setiap pelaburan dan menetapkan syarat-syarat (berkaitan) kerana kita tidak mahu 100 peratus usaha itu dibolot oleh syarikat asing. Mereka juga faham syarat ini perlu dipatuhi dan menggunakan tenaga tempatan.

    "Bagi projek ECRL, kerajaan sudah mewujudkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi memantau pelaksanaannya," katanya.

    Sehubungan itu, Mustapa berharap kalangan anggota UMNO akan turut membantu pemimpin memberi penjelasan kepada rakyat, khususnya di daerah ini berikutan tindakan pembangkang yang sering memainkan isu tidak tepat mengenai pelaburan negara asing.

    Menurutnya, pada pilihan raya umum sebelum ini, pembangkang di Kuantan memainkan sentimen menakutkan rakyat kononnya pelaburan Lynas di kawasan Gebeng tidak selamat kerana melepaskan sisa bahan radioaktif yang pada kemudiannya terbukti salah.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Pastikan Pelaburan Asing Tidak Jejas Identiti, Peluang Rakyat - Mustapa "