• Kembara kerjaya tawar 4,753 jawatan kosong

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+
    gambar hiasan


    KOTA KINABALU - Sebanyak 4,753 kekosongan jawatan pelbagai sektor dan kategori ditawarkan dalam Program Kembara Kerjaya Kebangsaan 2017 berkonsepkan 'Train Ride Sabah' yang diadakan selama empat hari bermula hari ini.

    Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab Rahman berkata program julung kalinya diadakan di Sabah itu akan berada di empat lokasi berbeza bermula di Stesen Keretapi Tanjung Aru, Beaufort, Tenom dan berakhir di Sipitang melibatkan penjelajahan dengan keretapi serta konvoi kenderaan pacuan empat roda.

    "Sebanyak 84 majikan daripada pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, perkhidmatan, pembuatan dan peruncitan serta lapan penyedia latihan turut serta dalam kembara kerjaya ini. Saya berharap program ini akan menjadi medium kepada golongan pencari kerja serta majikan untuk bertemu dengan simbiosisnya.

    "Kami berharap peluang yang diberikan dalam kembara kerjaya ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan pencari kerja di negeri ini," katanya pada majlis perasmian kembara kerjaya itu di sini, hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

    Adenan berkata, kerjasama yang diberikan oleh pihak majikan pada program itu secara tidak langsung membantu kerajaan mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan anak-anak muda.

    "Oleh itu saya menyeru agar semua pencari kerja di negeri ini tidak terlalu memilih pekerjaan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa kini.

    "Sekiranya ingin menambah kemahiran, rebutlah peluang untuk menjalani latihan kemahiran yang disediakan kerajaan melalui penyedia latihan yang terlibat dalam program kembara ini," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kembara kerjaya tawar 4,753 jawatan kosong "