• Kelambu Kaabah Ditinggikan Tiga Meter Elak Dirosak Jemaah

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+


    MEKAH – Kelambu Kaabah atau kiswah ditarik ke atas kira-kira tiga meter semalam dalam amalan setiap kali musim haji bagi memastikan kelambu itu terpelihara daripada sebarang kerosakan semasa jemaah bertawaf.

    Pengarah Besar Kompleks King Abdulaziz bagi kelambu Kaabah, Muhammad Bajouda berkata, ruang itu digantikan dengan kain putih selebar dua meter di keempat-empat sisi Kaabah.

    Katanya, amalan itu merupakan langkah berjaga-jaga ekoran kebanyakan jemaah haji gemar menyentuh kelambu itu yang mendedahkannya kepada kerosakan.

    “Ada juga jemaah yang memotong beberapa bahagian kelambu untuk dijadikan azimat yang memang jelas merupakan perbuatan tahyul,” katanya yang dilaporkan oleh portal Saudi Gazette.

    Menurut beliau, kelambu itu akan diturunkan semula ke posisi asal sebaik sahaja musim haji selesai.

    Dalam pada itu, seramai 391 jemaah haji dari India terpaksa dipindahkan ke tempat yang le­bih selamat selepas bangunan pe­nginapan mereka terbakar di kawasan Al-Aziziyah, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Menurut sumber, kebakaran akibat litar pintas itu dipercayai berpunca daripada alat pengecas telefon bimbit.

    Jurucakap Pertahanan Awam Mekah, Kapten Naif Al Sharif ber­kata, kebakaran bermula dari sebuah bilik di tingkat tujuh bangunan itu.

    “Anggota Pertahanan Awam ber­jaya mengawal kebakaran dan tiada mangsa yang cedera,” katanya.

    Bangunan berkenaan menempatkan jemaah haji dari Assam, utara India.

    Konsul Haji India, Shahid Alam menyifatkan kebakaran itu sebagai insiden kecil dan tidak menjejaskan jemaah negara tersebut untuk meneruskan ibadah. - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kelambu Kaabah Ditinggikan Tiga Meter Elak Dirosak Jemaah "