• Keeper Thailand Takut Situasi Bola Mati Malaysia

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penjaga gol Thailand, Nont Muangngam akan menggunakan seluruh pengalamannya ketika beraksi di Liga Dua Perancis, AS Nancy II untuk menghalang gerakan merbahaya jentera serangan Malaysia terutamanya menerusi situasi bola mati.

    Dia yang mewakili skuad B-22 Perancis dalam beberapa kejohanan Eropah dari 2013-2014 sebelum kembali menguatkan cabaran skuad Gajah Putih, mengaku rangkaian penyerang tuan rumah cukup berbisa menjaringkan gol melalui tandukan hasil sepakan sudut ataupun sepakan percuma.

    “Saya bimbangkan situasi bola mati (sepakan sudut dan sepakan percuma) Malaysia yang amat merbahaya kerana penyerang mereka bijak membaca hantaran itu.

    “Lihat saja ketika aksi separuh akhir menentang Indonesia, mereka (Malaysia) meraih gol menerusi sepakan sudut yang ditanduk pemain tuan rumah (N Thanabalan).

    “Malah, sepakan percuma Malaysia juga beberapa kali menggegar palang dan tiang gol yang hampir menerjah jaring,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Thailand di Stadium MINDEF B, di sini, semalam.

    Kebimbangan Nont memang berasas jika berdasarkan jaringan pasukan negara sepanjang saingan dwitahunan itu dan gerakan situasi bola mati kerap menjadi senjata rahsia skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk meraih gol.

    Bermula ketika aksi pertama menentang Brunei, tandukan tonggak pertahanan Adam Nor Azlin hasil sepakan sudut berjaya memastikan Malaysia meraih kemenangan penting 2-1 untuk memulakan kempen dengan langkah kanan.

    Gerakan sama juga berlaku di peringkat separuh akhir apabila ayam tambatan negara, Thanabalan bijak memanfaatkan sepakan sudut untuk memastikan tuan rumah mara ke pentas final buat kali ke-12.

    Ujarnya lagi, dia mahu rakan sepasukannya memenangi pertembungan final itu dalam 90 minit permainan, namun Nont tetap bersedia sepenuhnya untuk berdepan kemungkinan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

    “Kalau boleh saya mahu perlawanan ditamatkan dalam tempoh 90 minit dan harap pasukan dapat mengelak daripada melakukan kesilapan mudah kerana barisan serangan Malaysia pantas menghidu peluang.

    “Namun jika permainan berlanjutan ke sepakan penalti, saya sudah bersedia dan akan melakukan yang terbaik,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Keeper Thailand Takut Situasi Bola Mati Malaysia "