• 'Kami Tak Mahu Balik!'

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+

    Stadium Shah Alam, hari ini, bertukar kecoh apabila kaunter tiket jualan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Thailand ditutup jam 1 tengah hari tadi.

    Kekecohan itu timbul apabila rata-rata penyokong Malaysia sudah beratur sepanjang kira-kira lima kilometer semata-mata untuk mendapatkan tiket sejak awal pagi tadi.

    Suasana di stadium bertukar menjadi tegang di mana segelintir orang awam yang mahu membeli tiket menjerit berikutan kaunter jualan tiket berkenaan ditutup.

    Penyokong yang datang dari Taiping, Muhammad Ridzuan Mohammad, 27, mengakui hampa apabila ketika hampir gilirannya, kaunter tiket jualan ditutup.

    "Saya datang awal pagi dari Taiping semata-mata mahu dapatkan tiket perlawanan bola sepak. Sudah elok beratur, tiba-tiba kaunter ditutup.

    "Sepatutnya ada khidmat jualan tiket secara 'online'. Ini kami datang dari jauh dengar tiket sudah habis pada hari ini. Tak kasihankah pada wanita, warga emas dan kanak-kanak yang sudah beratur dari awal lagi," katanya.

    Menurutnya, masalah ini tidak akan timbul jika pihak pengurusan melakukan kaedah jualan tiket dengan betul dan sentiasa mengawal selia stadium berkenaan.

    "Memang ada berlaku kekecohan sebentar tadi apabila segelintir pembeli merempuh kaunter jualan tiket namun jika dikawal selia dengan lebih baik, perkara ini tidak akan terjadi," katanya.

    Seorang lagi penyokong negara, Muhammad Saiful Amin Nizam, 28, berkata, dia datang seawal jam 8 pagi semata-mata untuk membeli tiket bagi menyaksikan final itu yang akan berlangsung esok.

    "Sudah beratur sembilan jam takkan kita nak balik. Saya akan tunggu untuk dapatkan tiket berikutan bukan selalu dapat menyaksikan perlawanan seperti ini.

    "Kami semua mahu beri sokongan penuh kepada Malaysia. Jika perlu tidur di sini malam ini untuk dapatkan tiket, saya akan tetap tunggu," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, penyokong dinasihati agar mengikut arahan yang sudah ditetapkan.

    "Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan atau cuba menimbulkan kekecohan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kami Tak Mahu Balik!' "