• Kami Memang Band Kampung - Projector Band

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+

    Projector Band yang pernah popular dengan single Sudah Ku Tahu tahun lalu dan kini mempertaruhkan single Aisyah pula tidak kisah terus dilabel peminat sebagai band kampung.

    Pemain gitar utama yang juga ketua kumpulan itu, Razif Zainuddin atau Angah, 25, berkata terpulanglah kepada peminat nak anggap dan lebelkan Projector Band sebagai apa termasuk band kampung.

    "Terus-terang, kami tidak berkecil hati pun kerana memang benar semua anggota Projector Band berasal dari kampung iaitu Kuala Kubu Bahru (KKB), Selangor.

    "Kami juga tidak pernah sedikit pun berasa malu untuk mengakuinya kerana ia perkara yang benar. Keluarga kami pun masih menetap di KKB," katanya.

    Selain Angah, Projector Band dianggotai Iskandar Zulkarnain Shafin, 24 atau Is selaku vokalis, Ahmad Khusairi Shafari, 27 (Mat, basis), Isnaidi Eidham Razali, 22, (Edi, gitar kedua) dan Muhammad Safiq Zainuddin, 23, (Apit, pemain dram).

    Angah berkata dia bersama anggota Projector Band yang lain hingga kini masih sedar diri dan asal usul mereka.

    "Kami memang anak kampung yang berasal dari Hulu Selangor yang memberanikan diri untuk menyahut cabaran dan cuba nasib membina karier dalam industri seni.

    "Setakat ini, hampir dua tahun kami gembira kerana karya muzik yang dipertaruhkan Projector Band diterima baik pendengar dan mendapat sambutan.

    "Kami bermain muzik ikhlas kerana minat. Terus-terang, bukan popular yang kami kejar tetapi sangat bersyukur populariti itu yang nampaknya datang sendiri," katanya.

    Menurut Angah, meskipun Projector Band tidak terlepas daripada terpalit beberapa cerita sensasi sebelum ini, mereka akur dan menerima dengan hati terbuka.

    "Kami manusia biasa yang tidak sempurna. Apatah lagi, nak terlepas daripada membuat silap. Dalam soal ini, kami hanya mampu meminta maaf.

    "Projector Band masih baru hendak bernafas dalam industri muzik tanah air, jadi masih banyak pengalaman yang harus kami timba," katanya.

    Sehubungan itu, Projector Band yang bernaung di bawah MAP Music bagaimanapun mengharapkan supaya mereka terus mendapat peluang untuk berkarya dalam bidang muzik tanah air.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kami Memang Band Kampung - Projector Band "