• Kafe Orang Pekak Pertama Di Colombia

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    BOGOTA: Kafe untuk golongan pekak pertama di Colombia, The Sin Palabras Cafe Sordo kini dibuka di kawasan kejiranan padat penduduk di Chapinero, di sini.

    Seorang daripada tiga pemiliknya, Maria Fernanda Vanegas berkata, kafe itu menyediakan skrin besar memainkan muzik video yang kuat dengan lirik dalam bahasa isyarat serta ruang untuk menari.

    "Ia mengajar orang yang boleh mendengar supaya menyesuaikan diri dengan golongan kurang upaya," kata Vanegas.

    Menu di situ juga diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat dan beberapa permainan disediakan untuk pengunjung seperti Jenga atau domino.

    Vanegas dan dua rakan kongsi, Cristian Melo dan Jessica Mojica sudah lama berhasrat membuka kafe seumpama itu untuk kemudahan lebih 50,000 orang pekak di negara ini.

    "Inilah kali pertama saya berpeluang menikmati muzik dan menari. Saya amat gembira," kata Erin Priscila Pinto, pelajar bidang fotografi yang mengunjungi kafe itu bersama rakannya, Carol Aguilera.

    Semua enam pelayan kafe itu juga pekak dan walaupun ramai pelanggan tidak tahu bahasa isyarat, mereka membuat pesanan makanan dan minuman tanpa masalah, termasuk menulis pada kertas.

    Walaupun hari belum malam, dua remaja memetik suis lampu di atas meja, yang bermaksud mereka mahu mahukan minuman.

    Kafe itu memang mesra pelanggan! - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Kafe Orang Pekak Pertama Di Colombia "