• Jurulatih Catur Didakwa Cabul Kanak-Kanak & Remaja Lelaki

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    Jurulatih catur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak dan remaja lelaki dalam kejadian berasingan di Kulai, pada Mac dan Jun lalu.

    Tertuduh, Kenny Yee Jeun Fui, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Khalid Ab Karim.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, Kenny didakwa melakukan kelucahan melampau dengan memegang dan meraba kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di kelas catur di Kulai pada 4.15 petang, 30 Jun lalu.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Kenny berdepan tuduhan kedua meraba remaja lelaki berusia 14 tahun di dalam kereta di bandar Kulai.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 10.30 malam, 21 Mac lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh diwakili H K Yoong.

    Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 September ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jurulatih Catur Didakwa Cabul Kanak-Kanak & Remaja Lelaki "