• Jelajah Kemerdekaan Ke-60, Yamaha E115M Diuji Untuk Pulih Reputasi

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+


    KUCHING: Konvoi Jelajah Kemerdekaan Ke-60 Yamaha E115 M yang bermula hari ini di Tay Motors (Kuching) akan menjelajah seluruh Sarawak dan Sabah.

    Pelepasan peserta dilakukan sendiri Pengurus Tay Motors (Kuching) Aaron Tay.

    Aaron menjelaskan, matlamat utama konvoi jelajah diadakan untuk menguji jentera Yamaha E115M bagi memulihkan reputasi model tersebut yang mengalami beberapa masalah kecil seperti kekurangan minyak pelincir dan sukar untuk dihidupkan.

    "Kita memilih empat orang penunggang berpengalaman dengan pelbagai saiz dan berat badan untuk memastikan model ini diuji dengan baik dan memuaskan hati pembeli.


    "Hari ini, konvoi akan bergerak menuju ke Bandar Sibu yang terletak kira-kira 408km.

    "Memandangkan cuaca hujan pada pagi ini, saya berharap motosikal dan penunggang kita dapat mengharungi jarak tersebut dengan selamat tanpa sebarang masalah," katanya.

    Jelas beliau, motosikal yang digunakan untuk kegunaan konvoi kali ini adalah motosikal terpakai.

    "Ia sengaja dilakukan bagi tujuan mendapatkan maklum balas terbaik dalam situasi tunggangan yang sedang dihadapi dan bakal dihadapi oleh peminat model tersebut," tegasnya.

    Konvoi hari pertama ini dijangka akan sampai ke Sibu dalam tempoh tujuh ke lapan jam.
  • No Comment to " Jelajah Kemerdekaan Ke-60, Yamaha E115M Diuji Untuk Pulih Reputasi "