• Jambatan Batang Sadong Mengubah Landskap Pembangunan Pekan Sebuyau

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    Landskap pekan Sebuyau, perkampungan nelayan kira-kira 50km dari sini yang terkenal dengan produk perikanan seperti ikan terubuk, kini mengalami perubahan dengan pembangunan Jambatan Batang Sadong bernilai RM231 juta dan mula digunakan kira-kira 10 bulan lalu.

    Atas peta walaupun jarak antara perkampungan ini dengan bandar raya hanyalah sekitar 40 km, namun jarak pemanduan melalui jalan raya paling dekat sebenarnya menjangkau lebih 100km, dengan tempoh masa perjalanan sebelum ini tidak dapat dipastikan kerana ia amat bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai Batang Sadong.

    Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebuyau, Ajis Ahmad, 32, berkata beliau melihat potensi besar penjanaan ekonomi penduduk setempat dengan siapnya jambatan itu, apabila orang ramai tidak lagi perlu menggunakan perkhidmatan feri untuk berulang-alik antara bandar raya Kuching dan Sebuyau.

    "Selain memendekkan tempoh perjalanan untuk penduduk sekitar ke bandar raya Kuching, pembinaan jambatan itu juga memudahkan penduduk di Sebuyau sini membawa hasil pertanian untuk dipasarkan ke sana (Kuching), tidak lagi perlu bergantung kepada pengangkutan air yang ada kekangannya," katanya kepada Bernama.

    "Paling menarik Sebuyau bakal menjadi antara laluan yang menghubungkan jalan-jalan pesisir pantai seterusnya membuka pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi dengan lebih pesat," tambahnya.

    Ajis berkata dalam erti kata lain Sarawak akan mempunyai dua jalan utama iaitu Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan raya pesisir pantai, merentasi pekan-pekan di pesisir yang juga terkenal dengan pelbagai produk agro seperti kelapa sawit, koko dan nanas.

    Dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Dis lalu, jambatan sepanjang 1.48 km dengan kelebaran 11.5 meter merentasi Sungai Batang Sadong ketika ini merupakan jambatan terpanjang di Sarawak yang memendekkan hampir dua jam perjalanan antara Kuching dan Sebuyau.

    Sebagai rekod, peruntukan pembinaan jambatan ini diluluskan Najib semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri 2011 sebelum pembinaan dimulakan pada Julai 2012.

    Bagi Ketua Kampung Hulu, Abu Seman Suhuili, 73, beliau melihat rancangan pembangunan bandar baharu Sebuyau yang dirangka oleh anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, sangat bertepatan dengan potensi kawasan itu.

    Beliau berkata lokasi pembangunan yang direncanakan memang strategik kerana terletak di tengah jalinan jalan raya pesisir pantai yang kini menjadi tumpuan laluan kenderaan, dan menurutnya, limpahan usaha untuk membangunkan bandar baharu susulan pembinaan jambatan itu turut dapat dirasai dengan ketara oleh penduduk setempat.

    Katanya projek penambakan tapak masjid di tanah seluas 1.4 hektar dengan kos RM986,000 telah siap pada September 2015 berhampiran jalan utama, manakala fasa kedua yang dijangka bermula dalam masa terdekat membabitkan pembinaan bangunan utama masjid dengan kos RM3.65 juta yang mampu menampung lebih 2,000 jemaah.

    Abu Seman berkata selain masjid, pelan induk bandar baharu itu juga menjanjikan pelbagai lagi komponen seperti kawasan komersial, kediaman, institusi pendidikan, sekolah menengah, pejabat kerajaan dan kawasan industri kecil dan sederhana.

    Lebih mengembirakan penduduk Sebuyau adalah kenyataan perdana menteri semasa merasmikan jambatan itu, bahawa satu lagi jambatan dirancang untuk dibina merentasi Sungai Batang Lupar yang melanjutkan lagi jalan darat untuk ke utara negeri bagi melengkapkan jajaran jalan pesisir pantai.

    Jambatan itu bakal menghubungkan kawasan pesisiran pantai seperti Sebuyau ke Triso, Maludam, Pusa, Kabong di Bahagian Betong kemudian ke Selalang, Tanjung Manis, Matu Daro, Igan, Mukah, Balingian di Bahagian Mukah serta ke Bintulu dan Miri, seterusnya menjadi jalan lanjutan kepada Lebuh raya Pan Borneo. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jambatan Batang Sadong Mengubah Landskap Pembangunan Pekan Sebuyau "