• Jabatan Penjara nafi beri kebenaran DSAI keluar kenyataan

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+
    Status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai banduan menyebabkan beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa sebarang kebenaran, kata Jabatan Penjara Malaysia.

    Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata pihaknya menafikan memberikan kebenaran kepada Ketua Umum PKR itu untuk mengeluarkan kenyataan rasmi pada Selasa lalu.

    “Adalah dijelaskan bahawa Anwar masih menjalani tempoh hukuman pemenjaraan sepertimana yang diarahkan oleh mahkamah.

    “Mana-mana banduan adalah tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan penyiaran tanpa kebenaran dari Jabatan Penjara iaitu sepertimana ketetapan prosedur penjara.

    “Dalam hal ini, Anwar tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan sama ada ketika berada di penjara atau semasa dibawa ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Supri merujuk kepada kenyataan terbaharu Anwar pada 14 Ogos lalu mengenai insiden kekecohan yang berlaku semasa forum Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam pada Ahad lalu.

    Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan sama ada kenyataan oleh Anwar yang pernah dikeluarkan sebelum ini mendapat kebenaran jabatan berkenaan.

    Tambah Supri, pada hari berkenaan, Anwar diiringi pihak penjara ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan namun tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan.

    “Semasa berada di mahkamah berkenaan, Anwar pada sepanjang masa berada dalam kawalan oleh pegawai penjara.

    “Pihak-pihak yang tidak berkaitan dengan perbicaraan berkenaan adalah tidak dibenarkan menemui beliau termasuklah pengamal media,” jelasnya.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan liwat sejak Februari 2015.- BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Jabatan Penjara nafi beri kebenaran DSAI keluar kenyataan "