• Jabatan Kerajaan Disaran Bekerjasama Dengan Media Salur Maklumat

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    KOTA BHARU:  Jabatan dan agensi kerajaan disaran menjalin hubungan akrab dengan pihak media bagi memudahkan saluran maklumat dengan olahan yang mudah difahami rakyat.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jabatan dan agensi kerajaan perlu bijak menggunakan kepakaran pihak media bagi memastikan maklumat disampaikan secara lebih berkesan.

    "Hubungan intim antara media dan jabatan kerajaan perlu sentiasa ada dan dipelihara kerana kebanyakan jabatan 'sukar untuk hidup tanpa media' malah dengan sokongan media peranan setiap jabatan lebih 'hidup', "katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kewartawanan Kelantan 2016 di sini, malam tadi.

    Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan berkata, terdapat sesetengah pihak memarahi media kerana berita mengenai mereka tidak disiarkan.

    "Di sinilah pentingnya hubungan dengan media. Saya dahulu sentiasa mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua pengarang media bagi bertanyakan tentang isu-isu semasa, "katanya.

    Beliau berkata media juga memainkan peranan penting dalam menjelaskan kepada rakyat sesuatu isu yang timbul dalam negara ini supaya kesejahteraan dan keharmonian terus kekal.

    Mustapa berkata pengamal media memahami 'sempadan' dan kalau ada yang melampaui batas maka tindakan tegas akan dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri.

    "Di negara luar, banyak laporan tidak bertanggungjawab dan kita di sini bernasib baik kerana media masih memainkan peranannya dengan baik. Saya gembira kerana media memahami dan banyak membantu dalam menyampaikan segala aspirasi kerajaan dan berharap hubungan dengan media akan berkekalan, "katanya.

    Pada Majlis Anugerah Kewartawanan Kelantan 2016 itu, Jurufoto Bernama Kelantan Zahari Abdul Razak, 54, menerima Anugerah Sepanjang Hayat dengan pengalaman selama 30 tahun dalam bidang fotografi.

    Jurugambar Sambilan Bernama Kelantan, Shahuri Awang@ Saidi, 31, dinobatkan penerima Anugerah Foto Terbaik dengan hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala dan sijil penghargaan.
    - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jabatan Kerajaan Disaran Bekerjasama Dengan Media Salur Maklumat "