• Isu Tiket Final Bola Sepak Cemar Imej KL2017

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    PENTAS final bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), platform terbaik untuk memperkukuhkan lagi perpaduan rakyat Malaysia berbilang kaum terutama’ menjelang Hari Kebangsaan 2017 ini, sewajarnya dapat dinikmati dengan mudah oleh seluruh lapisan masyarakat.

    Namun sebaliknya, sistem penjualan tiket yang dianggap ‘kuno’ menjadi tompok hitam dalam lipatan sejarah sukan negara apabila puluhan ribu penyokong tempatan hampa dan berputih mata kerana gagal mendapatkan tiket untuk menonton perlawanan akhir Malaysia dan Thailand malam ini.

    Keputusan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) menjual tiket hanya di Stadium Shah Alam, venue perlawanan akhir itu, menimbulkan kemarahan seluruh penyokong skuad kebangsaan, terutama dari kawasan luar bandar, selain dikecam hebat netizen menerusi pelbagai platform media sosial.

    Menyedari akan hal tersebut, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tampil memberi penjelasan faktor-faktor yang diambil kira dalam membuat keputusan itu.

    Menerusi Twitter Khairy menjelaskan bahawa memang ada perancangan awal untuk menjual tiket final secara dalam talian seperti semasa aksi separuh akhir, namun masalah timbul apabila pembekal sistem transaksi pembayaran dalam talian itu tidak dapat menjamin kestabilan sistem kerana jumlah pengguna yang terlalu ramai.

    “Mengenai isu tiket final bola sepak, kami memang berniat untuk menjual sebahagiannya secara dalam talian. Itu amalam bagi semua sukan sebelum aksi final. Bagaimanapun malam tadi sya dimaklumkan pembekal sistem transaksi pembayaran dalam talian tidak dapat menjamin kestabilan sisitem kerana jumlah pengguna yang banyak.

    “Mereka bimbang orang membuat transaksi pembayaran dan tidak mendapat tiket kerana jumlah pengguna yang banyak. Mereka tidak dapat menjamin kestabilan,” sistem,” tulisnya.

    Selepas menilai beberapa maklumat yang diterimanya, Khairy akhirnya mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penjualan tiket secara dalam talian sebaliknya hanya dijual di venue perlawanan sehingga habis.

    “Saya perlu buat keputusan berdasarkan maklumat yang diberikan kepada saya. Tanpa sistem pembayaran dalam talian yang stabil, keputusan dibuat untuk menjual semua tiket @ SSA (Stadium Shah Alam). Di SSA kami menjual semua tiket. Sehingga ia terpaksa ditangguhkan apabila penghalang dicerobohi. Kemudian penjualan tiket disambung semula selepas FRU tiba,” tulisnyai.

    Keputusan Masoc menjual tiket hanya di kaunter stadium bukanlah langkah efektif kerana kebanyakan penjualan tiket pada waktu kini adalah secara dalam talian.

    Kewujudan ulat tiket yang sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan keuntungan berlipat ganda dengan menjual kembali tiket yang dibeli dengan harga yang mahal menyebabkan penyokong terpaksa beratur panjang di Stadium Shah Alam untuk mendapatkan tiket.

    Harga yang dijual ulat tiket di pasaran gelap difahamkan mencecah RM120 hingga RM250 sekeping berbanding harga asal iaitu RM21.20.

    Difahamkan, hanya beberapa kaunter tiket sahaja yang dibuka walaupun dalam kenyataan yang dikeluarkan Masoc sebelum ini memaklumkan sebanyak 20 kaunter tiket akan dibuka seawal pukul 11 pagi semalam.

    Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 5,000 penyokong pasukan Malaysia yang mula berbaris sejak awal pagi terpaksa pulang dengan tangan kosong apabila tiket perlawanan akhir itu habis dijual dan difahamkan sebanyak 45,000 tiket dijual kepada penyokong Malaysia manakala lebih 3,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Thailand.

    Persoalannya, mengapakah isu mengenai penjualan tiket ini masih timbul?.Apakah pihak penganjur tidak membuat perancangan awal?. Siapakah yang melantik pembekal transaksi pembayaran dalam talian itu?. Siapa yang harus bertanggungjawab mengakibatkan puluhan ribu peminat terpaksa membuang masa seharian berbaris untuk mendapatkan tiket?.

    Lebih mendukacitakan, sehingga hari ini Masoc masih mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menjelaskan perkara sebenar berhubung insiden berkenaan.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Seri Zolkples Embong yang dihubungi Bernama semalam juga enggan memberikan sebarang komen mengenai isu terbabit.

    Rentetan insiden memalukan itu, ia turut mendapat perhatian penyokong tegar bola sepak tanah air, ‘Ultras Malaya’ yang selama ini menjadi tulang belakang Harimau Malaya apabila semalam memutuskan untuk tidak akan membuka ‘Curva’ pada perlawanan akhir itu

    “Solidariti untuk semua pemain ke-12 pasukan Harimau Malaya. Ultras Malaya secara rasmi tidak akan membuka curva untuk perlawanan akhir esok sebagai tanda solidariti buat komrad dan juga penyokong lain yang datang dari jauh mahu pun yang dekat.

    “Yang telah bersusah payah, berhempas pulas untuk mendapatkan tiket tetapi tidak dapat memperolehnya kerana kelemahan sistem penjualan tiket dari pihak penganjur,” demikian tulisan dalam entri Facebook rasmi Ultras Malaya.

    Sejujurnya, masalah kegagalan mendapat tiket untuk menyaksikan aksi final sebenarnya bukanlah masalah baharu kerana ia kerap berlaku dalam beberapa pertandingan tempatan seperti Piala Malaysia dan Piala FA.

    Namun, insiden sedemikian membuktikan bahawa kita masih lagi tertinggal di belakang apabila masalah yang sepatutnya hanya berlaku pada sekitar tahun 80-an dan 90-an masih lagi mendampingi kita pada tahun 2017.

    Justeru semua pihak wajib mengambil iktibar mengenai insiden ini dan dijadikan pengajaran berharga supaya penganjuran sesuatu sukan di negara ini pada masa depan dapat dijalankan dengan penuh gemilang dan menjadi contoh kepada negara lain. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Tiket Final Bola Sepak Cemar Imej KL2017 "