• Inspektor, 4 anggota polis didakwa memeras

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+


    INSPEKTOR bersama empat anggota polis dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, di Petra Jaya, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan pemerasan pada 31 Julai hingga 8 Ogos lalu.

    Inspektor Joslin Savantil, 53, dan Koperal Muhamad Mustaqim Che Ismail, 31, dituduh dengan dua pertuduhan manakala Koperal Hamizam Hamdi Chia, 32; Lans Koperal Muhammad Noor Faiz Khaliddi, 25, dan Lans Koperal Aslan Rasgan, 32, masing-masing satu pertuduhan.

    Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun atau sebat atau keduanya sekali.

    Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad dan Timothy Finlayson Joel di tiga Mahkamah Sesyen berbeza.

    Mengikut pertuduhan pertuduhan pertama Joslin dan Muhamad Mustaqim secara bersama melakukan pemerasan yang mendatangkan ketakutan terhadap Chin Li Li kerana menjual barangan yang tidak membayar cukai Kastam sehingga mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,000 di di Lot 138, Taman Sri Harmoni, Batu 8, Jalan Matang, jam 8.30 malam, 3 Ogos lalu.

    Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh Joslin, Muhammad Noor Faiz dan Aslan Rasgan secara bersama dituduh melakukan pemerasan yang mendatangkan ketakutan terhadap Azhar Jamil kerana menjual rokok haram sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,500 di kedai serbaneka beralamat di Lot 1183, Blok 10, Jalan Batu Lintang, jam 12.30 tengah hari, 31 Julai lalu.

    Selain itu, Muhamad Mustaqim dan Hamizam secara bersama dituduh melakukan pemerasan yang mendatangkan ketakutan terhadap Titik Tisen yang menganjurkan aktiviti perjudian dan menjual loteri haram sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang tunai berjumlah RM500 di No 10, Kampung Temaga Dayak, Sematan, jam 6.30 petang, 8 Ogos lalu.

    Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh melakukan pemerasan bahawa mangsa akan dikenakan hukuman penjara 10 tahun sekiranya enggan membayar wang yang diminta.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan Ahmad Fariz Abdul Hamid, Haresh Prakash dan Nor Azahari Yusof memohon mahkamah untuk memberikan sebarang ikat jamin kepada tertuduh kerana ia membabitkan kepentingan awam.

    Tertuduh diwakili peguam bela Shankar Ram Asnani bagi Joslin, Muhamad Mustaqim, Hamizam dan Aslan manakala Hani Iriyani Bonny mewakili Muhammad Faiz.

    Mahkamah menetapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin berasal dari Sarawak selain tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau menghubungi mangsa dan keluarga menerusi apa juga medium termasuk media sosial sehingga selesai perbicaraan.-HMetroOnline
  • No Comment to " Inspektor, 4 anggota polis didakwa memeras "