• Indonesia Keluar Gelanggang, Tanda Protes Keputusan Pengadil

    Published: Monday, 21 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Indonesia mengambil pendirian drastik dengan menarik diri daripada meneruskan perlawanan set kedua acara antara regu sepak takraw wanita menentang Malaysia pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Tertutup Titiwangsa di sini, malam ini.

    Insiden tersebut berlaku sebagai tanda bantahan jurulatih Indonesia terhadap keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan empat servis yang dilakukan oleh perejam Lena ketika mendahului set kedua dengan 16-10.

    Tindakan Indonesia itu memberi kemenangan secara pembatalan 2-0 kepada Malaysia selepas pasukan tuan rumah menang set pembukaan dengan keputusan 22-20.

    Pengadil membatalkan servis yang dilakukan oleh Lena kerana dikatakan melakukan kesalahan mengangkat kaki kiri ketika melakukan servis buat kali keempat.

    Tindakan itu lantas tidak disenangi jurulatih republik itu, Asry Syam, yang terus meluru masuk ke gelanggang dan membuat isyarat tangan bagi memberhentikan perlawanan.

    Asry juga menarik semua pemainnya ke hujung gelanggang dan mengarahkan semua pemainnya meninggalkan gelanggang.

    Asry dan semua pemainnya - Dini Mita Sari, Leni, Florensia Cristy, Lena dan Evana Rahmawati dan kemudiannya bertindak meninggalkan Stadium Titiwangsa itu dengan sebuah kenderaan.

    Wartawan yang membuat liputan turut gagal mendapatkan reaksi jurulatih itu.

    Malaysia dijadual bertemu Thailand esok dalam perlawanan terakhir liga sepusingan yang bakal menentukan siapa pemillik pingat emas acara berkenaan.

    Malaysia dan Thailand masing-masing menang dua perlawanan sebelum ini.

    Indonesia dijadual menentang Filipina pada perlawanan akhir sepusingan untuk menentukan pingat gangsa.

    Hanya Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina mengambil bahagian pada acara itu. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Indonesia Keluar Gelanggang, Tanda Protes Keputusan Pengadil "