• Hargai Kemerdekaan, Keamanan Tidak Datang Bergolek - Pejuang Kemerdekaan

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Generasi muda haruslah memahami erti kemerdekaan dan menghargainya kerana keamanan yang dinikmati negara sekarang tidak datang dengan mudah tanpa perjuangan golongan terdahulu, kata seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Kpl (B) Soib Sukardi, 89, berkata ini kerana ramai pejuang terdahulu berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara daripada dibelenggu pihak musuh.

    "Saya lihat anak muda zaman sekarang mulai lupa nikmat sebenar kemerdekaan dan mereka ketika ini dilimpahi kemewahan yang mana mereka hanya tahu negara ini setiap tahun meraikan merdeka (Hari Kebangsaan), apabila ditanya apa itu merdeka? Mereka terpinga-pinga."

    "Wahai orang muda, jagalah tanah air ini sebaik-baiknya dengan apa jua sekali pun walaupun terpaksa mengorbankan jiwa dan raga," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Menyertai ATM pada 1950 ketika berusia awal 20-an, Soib, yang bertugas sebagai tentera darat dalam pasukan General Operation Duty (GD) Batalion Kedua Regimen Askar Melayu berkata masyarakat perlu bersyukur kerana dapat menikmati keamanan dan kemakmuran.

    Soib pernah menerima pingat \'Queen Elizabeth Medal' sebagai tanda penghargaan daripada Ratu Elizabeth II atas jasa beliau dan pasukannya yang menjadi pasukan penembak terbaik ketika menentang komunis.

    Berkongsi suka-duka sebagai askar yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, beliau menjelaskan bahawa beliau pernah hampir dibom oleh pihak musuh ketika bertugas di Sungai Klang beberapa tahun sebelum kemerdekaan.

    "Saya berasa sangat takut dan kejadian itu amat menggerunkan saya kerana secara tiba-tiba ada sebutir bom yang dijatuhkan oleh kapal terbang komunis tetapi bom berkenaan tidak meletup," katanya.

    Beliau juga pernah ditugaskan bersama-sama Pasukan Shepherd Regiment di Kajang untuk menyerang sekumpulan komunis di situ dan dalam pertempuran itu, pasukannya berjaya menembak mati enam anggota komunis.

    Beliau berkata pasukannya, GD, dibubarkan oleh kerajaan sebelum negara ini mencapai kemerdekaan kerana perkhidmatan pasukannya dikatakan tidak lagi relevan.

    Soib atau panggilan mesranya Pak Itam berkata kehidupan pada zaman komunis amat susah dan perit.

    "Dulu bila mahu minum susu, perlu ditebuk dulu tin susu yang dibeli itu sebelum membawanya pulang sebagai langkah berjaga-jaga kerana susu tin yang tidak ditebuk akan dirampas komunis," katanya.

    Soib yang berkahwin dengan Khadijah Kassim kini menetap di Sepang dan mempunyai lapan cahaya mata serta 27 cucu. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hargai Kemerdekaan, Keamanan Tidak Datang Bergolek - Pejuang Kemerdekaan "