• Guru Dera Kanak-Kanak Autisme

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    BEIJING, CHINA: Polis Beijing sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kanak-kanak autisme didera oleh guru mereka di pusat pembelajaran pakar di bandar itu.

    Insiden itu mula mendapat perhatian selepas sebuah video menunjukkan dua guru Pusat Pendidikan Senxi di Changping menyalahguna kuasa mereka muncul di dalam talian, lapor The Beijing News.

    Video berdurasi lebih dua minit itu dipercayai diambil dari kamera rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berkenaan.

    Dalam satu klip, seorang guru dilihat menyeret kanak-kanak di sekeliling bilik dengan tali yang dilekatkan pada pergelangan tangannya.

    Sementara itu, di sudut lain, seorang budak lelaki diminta melakukan tekan tubi sementara gurunya berborak dengan rakan sekerjanya.

    Pada masa sama, seorang lagi kanak-kanak dilihat tanganya diikat ke belakang dan gurunya meregangkan tubuhnya.

    Seorang wakil yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata, dua guru telah dipecat akibat tuduhan itu dan syarikat sedang bekerjasama penuh dengan polis bagi membantu siasatan.

    Pusat pendidikan yang didakwa beroperasi sebagai sebuah institut penyelidikan pakar dan pusat latihan untuk kanak-kanak autisme berusia dua hingga enam tahun ditutup sementara menunggu siasatan lanjut.

    Jurucakap berkata, pusat berkenaan mempunyai 41 kanak-kanak yang didaftarkan namun 10 daripada mereka menarik diri sebaik video berkenaan tersebar.

    Seorang bapa yang dikenali sebagai Zhang berkata, dia mengambil keputusan mengeluarkan anaknya dari sekolah berkenaan selepas melihat kaedah yang tidak normal diguna pakai.

    Dia membayar yuran pengajian 9,400 yuan (RM 6,041) sebulan.

    Video berkenaan muncul pada Sabtu di laman Weibo dan meraih perhatian netizen.-Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Guru Dera Kanak-Kanak Autisme "