• Geng Wika dicekup jual motosikal curi RM250

    Published: Monday, 21 August 2017
    A- A+

    BALIK PULAU - Geng Wika yang bergiat aktif mencuri dan menjual motosikal dengan harga serendah RM250 sekitar Bayan Lepas dan Sungai Nibong berjaya ditumpaskan Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, tiga anggota sindiket berkenaan telah ditangkap sekali gus menyelesaikan sembilan kes kehilangan motosikal sejak dua bulan lalu.

    "Dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 21 hingga 27 tahun itu ditahan di lokasi berbeza masing-masing bersama motosikal curi.

    "Pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau tetapi dua warga Indonesia terlibat memiliki pas lawatan tamat tempoh sejak tiga tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Ketiga-tiga suspek direman sehingga 24 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - K! ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Geng Wika dicekup jual motosikal curi RM250 "