• Fenomena Pancuran Meteor Perseid 12 Ogos

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kemuncak fenomena pancuran meteor Perseid akan dapat dilihat di ruang angkasa negara pada sekitar 12.30 tengah malam Sabtu ini (12 Ogos).

    Menurut satu kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), rakyat Malaysia dijangka dapat melihat secara purata sekitar 60 hingga 100 meteor sejam dan boleh mencecah sehingga 150 meteor sejam bagi kawasan yang bebas daripada pencemaran cahaya semasa kemuncak fenomena.

    “Bagaimanapun, cabaran pada 2017 adalah cahaya bulan yang terang kerana berada pada fasa bulan menghampiri purnama ketika kemuncak kemunculan meteor.

    Bulan dijangka terbit lebih awal pada 10.16 malam 11 Ogos. Keadaan ini mungkin menyebabkan kadar kenampakan menjadi kurang. Jumlah meteor yang dapat dilihat bergantung kepada keadaan tempat dan cuaca,” menurut kenyataan itu.

    Pancuran meteor Perseid berlaku pada setiap tahun pada 17 Julai hingga 24 Ogos, apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet terbakar ketika memasuki atmosfera bumi.

    Tiada sebarang program pencerapan dilakukan Angkasa namun orang ramai dipelawa berkongsi imej fenomena berkenaan di Facebook Angkasa. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Fenomena Pancuran Meteor Perseid 12 Ogos "