• Esscom Dapat Kerjasama Negara Jiran

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali berkata operasi yang diselaraskan oleh Esscom dengan kerjasama negara jiran, berjaya membantu pihak keselamatan negara menghadapi sebarang kemungkinan di perairan pantai timur Sabah.

    “Kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak keselamatan Filipina dan juga Indonesia. Mereka salurkan maklumat kepada kita dan kita juga salurkan maklumat kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai Esscom kepada para Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di sini hari ini.

    Sejak menerajui Esscom pertengahan Jun lepas, katanya, beliau telah memastikan usaha ini dilaksanakan untuk mengekang sebarang cubaan melakukan jenayah di perairan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

    Mengulas mengenai taklimat itu, Hazani berkata ia berkaitan perkembangan semasa ancaman di Esszone dan tindakan yang diambil untuk menangani serta mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan di Sabah.

    Majoriti daripada 60 ADUN Sabah hadir pada majlis taklimat selama sejam setengah itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Esscom Dapat Kerjasama Negara Jiran "