• Empat Wartawan ‘Hina’ Korea Utara Dihukum Mati

    Published: Thursday, 31 August 2017
    A- A+


    SEOUL: Pyongyang menghukum empat wartawan Korea Selatan hukuman mati gara-gara menulis pandangan terhadap sebuah buku yang menghina Korea Utara.

    Akhbar konservatif Chosun Ilbo dan Dong-A Ilbo mengeluarkan ulasan ke atas edisi baharu "North Korea Confidential", buku yang ditulis oleh wartawan Britain pada 2015.

    Buku tersebut mengupas tentang perkembangan kehidupan harian penduduk di Korea Utara yang berkisar tentang drama Korea Selatan yang diedarkan di pasaran gelap dan barangan fesyen serta gaya rambut yang dicedok dari negara jirannya.

    Penduduk yang ditangkap memiliki barangan 'haram' itu sering menyogok pegawai untuk melepaskan diri.

    Tajuk edisi Korea buku tersebut diubah kepada "Capitalist Republic of Korea".

    Mahkamah Sentral Korea Utara menyifatkan ulasan buku yang dibuat sebagai "melakukan jenayah terkutuk dengan penghinaan serius ke atas maruah Korea Utara".

    Akhbar tersebut juga dikatakan berani untuk menerbitkan gambar kulit buku itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Korean Central News Agency.

    Wartawan dan presiden setiap akhbar itu dihukum mati, katanya.

    "Penjenayah tidak mempunyai hak untuk merayu dan hukuman akan dilaksanakan bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu melalui prosedur tambahan," tambah kenyataan itu.

    Namun, tiada hukuman dikeluarkan untuk penulis asal buku itu yang merupakan bekas koresponden Economist, Daniel Tudor dan wartawan Reuters, James Pearson. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Empat Wartawan ‘Hina’ Korea Utara Dihukum Mati "