• ECRL lonjak pembangunan Pantai Timur

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+

    KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan saja menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan, tetapi turut memberi impak positif serta merancakkan pembangunan di Pantai Timur.

    Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, berkata projek sepanjang 688 kilometer itu adalah selari dengan inisiatif kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia dan meningkatkan taraf pengangkutan awam di luar bandar.

    "Projek ini adalah projek infra-rakyat. Apabila siap kelak, ECRL dapat mengurangkan masa perjalanan yang sebelum ini hampir lapan jam kepada empat jam.

    "Ini bermakna perkembangan sosioekonomi setempat dapat dijana dan seterusnya meningkatkan status ekonomi penduduk," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek ECRL di sini, hari ini.

    Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Kaunselor Negara Republik Rakyat China, Wang Yong.

    Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

    Mohd Irwan Siregar turut meminta kontraktor dilantik bagi projek itu melaksanakannya dengan lebih cepat dan siap lebih awal dari tempoh ditetapkan.

    "Kalau ikut jadual, projek ECRL ini dijangka siap pada 2024. Saya harap mereka (China Communications Construction Group Limited) dapat siapkan lebih awal dari jadual asal.

    "Pengerusinya ada bersama kita hari ini, kita harap beliau menerima cabaran ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " ECRL lonjak pembangunan Pantai Timur "