• Dipenjara 5 Bulan Pukul Bapa Dengan Kerusi

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang memukul bapa kandungnya dengan kerusi plastik dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mahyuddin Mohmad Som terhadap Mohammad Khairuddin Nadkaya@Madkayah, 22, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

    Tertuduh juga dihukum penjara sebulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalannya kepada seorang pegawai polis.

    Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 27 Ogos lalu.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mendatangkan kecederaan ke atas Nadkaya@Madkayah Abdul Gapul, 48, menggunakan kerusi plastik hingga menyebabkan kecederaan di atas kening kiri mangsa di rumah di PPR Seri Alam, Jalan Sungai Besi sini, pada jam 11 malam, 26 Ogos lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama dan didakwa mengikut Peraturan 25(1)(N) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.

    Terdahulu, tertuduh ketika disoal Mahyuddin mengapa dia sanggup memukul bapanya, tertuduh berkata, "dia (ayah) tuduh saya macam-macam".

    Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh meminta wang daripada bapanya namun mangsa tidak memberikan wang sebaliknya memarahi tertuduh kerana telah menjual telefon bimbit mangsa tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

    Tertuduh kemudian mengamuk kerana tidak berpuas hati dan memukul bapanya menggunakan kerusi plastik walaupun dihalang ibu dan dua adik-beradik tertuduh.

    Hasil siasatan mendapati tertuduh adalah seorang penagih dadah yang baru selesai menjalani hukuman April lalu dan sering bersikap agresif. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dipenjara 5 Bulan Pukul Bapa Dengan Kerusi "