• Diarah Bayar Denda Kerana Berenang Guna Burkini

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+


    PARIS – Seorang wanita yang memakai burkini untuk mandi di kolam sebuah penginapan peribadi yang disewanya bersama keluarga berhampiran Marseille di selatan Perancis, diarah membayar denda.

    Menurut wanita itu, Fadila, denda itu ialah kos untuk membersihkan kolam berkenaan.

    Dalam aduannya kepada badan Bersatu Menentang Islamofobia Perancis (CCIF), Fadila berkata, sebaik dia memasuki kolam berkenaan untuk berenang, seorang kakitangan mengarahkan orang lain meninggalkan kolam itu.

    Pemiliknya kemudian menelefon suaminya, menyuruh dia berhenti menggunakan kolam berkenaan sepanjang mereka menginap di situ.

    Pemilik itu juga mengarahkan pasangan terbabit membayar 490 euro (RM2,500), kos untuk membersihkan kolam berkenaan.

    “Saya terkejut kerana tidak ada orang melarang saya atau memberitahu saya tidak boleh mandi dengan memakai burkini di kolam itu sebelum saya memasukinya.

    “Saya terkejut dan amat kecewa kerana sikap kejam dan hipokrit mereka semata-mata kerana burkini,” kata Fadila dalam aduannya kepada badan berkenaan.

    Pasangan itu enggan membayar denda itu. Bagaimanapun, pemilik terbabit mengambil wang berkenaan daripada akaun mereka tanpa mengeluarkan invois.

    CCIF dalam laporannya berkata, tindakan itu sungguh mengejutkan memandangkan burkini direka memang untuk berenang dan tidak akan menyebabkan sebarang pencemaran. – Agensi/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Diarah Bayar Denda Kerana Berenang Guna Burkini "