• Demi Ibu, 2 Beradik Sanggup Jalan Kaki Berpuluh KM…

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    DEMI berjumpa ibu, dua orang kanak-kanak yang masih berbaju tidur berjalan kaki berpuluh kilometer dari Saujana Utama, Sungai Buloh ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi.

    Kanak-kanak yang berusia antara lapan dan 10 tahun itu sanggup berjalan kaki ke Bukit Jalil untuk berjumpa dengan ibunya walaupun keadaan pada waktu itu gelap dan sunyi.

    Mereka yang ditemui seorang lelaki prihatin yang secara kebetulannya memandu di jalan yang sama untuk ke tempat kerjanya memberhentikan kereta sebelum salah seorang daripadanya meminta tolong untuk menghantarkan mereka ke Bukit Jalil.

    “Pakcik boleh tolong hantarkan kami ke Bukit Jalil, nak jumpa mak,” kata salah seorang daripada kanak-kanak tersebut.

    “Jauh dik, pakcik nak pergi tempat kerja ni. Biar pakcik bawa adik ke balai polis dan abang polis tolong hantarkan,” memetik laporan sebuah akhbar.

    Lelaki yang bernama Ahmad Nazri Zainudin, 38, telah memuatnaik satu posting ke laman Facebook miliknya mengenai insiden ini dan telah menghantar kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Saujana Utama.

    “Ada dua tiga kereta yang lalu jalan yang sama sebelum saya tapi tidak berhenti. Saya rasa tak sedap hati kerana mereka masih kanak-kanak. Alhamdulillah, saya dah serahkan mereka untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” ujar Nazri.

    Insiden ini telah disahkan oleh jurucakap Balai Polis Saujana Utama sebelum kanak-kanak itu dituntut oleh wakil penjaganya dari Rumah Aman.

    “Mereka diambil oleh wakil penjaga dari Rumah Aman, rumah kebajikan di Saujana Utama pada kira-kira pukul 9 pagi. Laporan polis juga telah dibuat,” kata jurucakap polis.

    Rupa-rupanya dua orang kanak-kanak lelaki tersebut merupakan penghuni baru di rumah kebajikan Rumah Aman dan mungkin atas faktor belum boleh membiasakan diri di sana, insiden ini terjadi.

    “Mereka mungkin tak biasa hidup dalam suasana seperti asrama yang ada jadual dan peraturan walaupun kami menyediakan makan minum dan tempat tinggal serta kemudahan pendidikan,” ujar Abdul Rehman Dakri, Pengasas dan Pengarah Rumah Aman.

    Tambahnya lagi, mereka dihantar ke Rumah Aman kerana keadaan keluarga yang kurang berkemampuan untuk memberikan mereka kehidupan yang lebih baik.

    Menurut Abdul Rehman, insiden ini akan diteliti dengan kakitangannya kerana sewaktu insiden ini berlaku, kanak-kanak tersebut di bawah jagaan Rumah Aman.

    Beliau juga menjelaskan akan memantau kira-kira 55 penghuni di rumah tersebut bukan sahaja melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bangunan, malah melalui kakitangan Rumah Aman itu.

    “Bagaimanapun, saya memohon maaf di atas insiden yang berlaku pagi tadi. Kami akan memastikan kejadian tidak berulang. Jangan risau mengenai kanak-kanak ini kerana penghuni yang masih mempunyai ibu atau bapa boleh melawat mereka sekali setiap bulan.

    “Saya sebagai penjaga sentiasa mengambil tanggungjawab untuk menjaga mereka lebih daripada anak sendiri dalam membentuk mereka menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Subjects:

  • No Comment to " Demi Ibu, 2 Beradik Sanggup Jalan Kaki Berpuluh KM… "