• 'Datuk' ditahan jual pingat palsu

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+



    LELAKI berusia 55 tahun yang mendakwa dirinya bergelar Datuk ditahan di sebuah hotel di Alor Setar, semalam, selepas menganjurkan penyampaian anugerah pingat disyaki palsu.

    Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, pihaknya yang menerima maklumat bertindak menyerbu pada 1.30 tengah hari dan merampas 65 selempang, 66 pingat, piala cenderahati persatuan, lima plak cenderahati persatuan serta kain rentang majlis.

    Menurutnya, suspek yang menggunakan nama Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Malaysia menganjurkan majlis itu yang dihadiri 200 orang termasuk 95 penerima Pingat Setia Raja dan Negara (PSRN) yang kononnya ada kaitan dengan kerabat diraja sebuah negeri.

    "Penerima anugerah yang datang dari pelbagai negeri terdiri daripada ahli perniagaan dan pesara kerajaan. Mereka perlu membayar RM5,000 untuk mendapatkan anugerah pingat itu.

    “Mangsa tertipu dengan pingat itu selepas pihak penganjur menjanjikan keistimewaan mudah mendapatkan tender kerajaan jika mendapat PSRN," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

    Asri berkata, semakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati persatuan itu sah dan berdaftar namun mereka tidak berkelayakan menganugerahkan pingat menyerupai istana.

    "Suspek mendakwa dirinya bergelar Datuk namun sedang menyiasat kesahihan dakwaannya itu dan kita akan mendapatkan perintah reman hari ini.

    "Kes ini adalah kali kedua berlaku di mana sebelum ini berlaku di negeri lain tahun lalu namun selepas ditahan polis mereka beralih pula ke sini.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.-Hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Datuk' ditahan jual pingat palsu "