• Cabaran Membangunkan Sabah Perlu Sokongan Rakyat

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    SANDAKAN - Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan untuk membangunkan negeri ini memerlukan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada rakyat, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

    Menurut beliau masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membangunkan negeri ini demi kesejahteraan rakyat.

    "Perubahan yang dibawa oleh kerajaan tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata.

    "Namun, apa juga cabaran yang akan dihadapi dengan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada seluruh rakyat. Ini akan berjaya membawa negeri membangun dan maju demi kemakmuran rakyat," katanya ketika merasmikan bangunan tambahan baharu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew di sini, hari ini.

    Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

    Bangunan tambahan baharu dua tingkat SRK Sung Siew itu yang memuatkan 12 buah kelas tadika dibina dengan kos RM2.5 juta.

    Musa berkata kerajaan bukan sahaja menyediakan infrastruktur dan prasarana yang sesuai dan mencukupi, bahkan turut mengangkat martabat kualiti pendidikan bertaraf dunia.

    Ini kerana katanya, kerajaan negeri menyedari pentingnya untuk menyediakan pendidikan yang baik dan berkualiti kepada anak-anak sebagai asas kepada pembangunan modal insan yang mampu melahirkan generasi pelapis berminda kelas pertama.

    Kejayaan masa depan anak-anak bergantung kepada pendidikan awal yang diterimanya semasa kecil, kata beliau. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Cabaran Membangunkan Sabah Perlu Sokongan Rakyat "