• Buaya Seberat 300kg Ditemui Di Miri

    Published: Sunday, 13 August 2017
    A- A+
    MIRI, 13 Ogos (Bernama) -- Seekor buaya sepanjang empat meter serta seberat 300kg ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Labau, Sibuti, 60km dari sini petang Sabtu.

    Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri Kapten Mohamad Hazle Shah Hamid berkata hasil maklumat yang diterima daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), APM Miri bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di sana pada 2.30 petang.

    "Buaya tersebut ditemui di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran dengan anak sungai," katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.

    Menurutnya, SFC telah meminta bantuan APM Miri untuk memindahkan buaya berkenaan menggunakan lori tiga tan milik APM Miri untuk dibawa ke Taman Buaya Miri di Kuala Baram.

    Untuk rekod, Taman Buaya Miri yang juga mini zoo terletak 50km dari pusat bandar raya, menempatkan pelbagai spesies buaya dan binatang. -- BERNAMA
  • No Comment to " Buaya Seberat 300kg Ditemui Di Miri "