• Bowie kini wanita terpantas dunia

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+

    LONDON: Pelari Amerika Syarikat, Tori Bowie mengungguli acara 100 meter wanita Kejohanan Dunia, awal pagi tadi untuk memperbaiki pencapaian pingat perak yang dimenangi pada Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

    Bagaimanapun, pemenang emas Rio 2016 Elaine Thompson bergelut apabila sekadar menamatkan larian di kedudukan kelima.

    Bowie, 26, bermula perlahan sebelum mengorak langkah dengan memintas Marie-Josee Ta Lou dari Ivory Coast di penghujung saingan yang menyaksikannya terjatuh selepas mencecah garisan penamat dengan kepantasan 10.85 saat.

    Ta Lou yang menyangka dirinya memenangi acara itu meraikannya, namun papan kenyataan kemudian menunjukkan dia ketinggalan 0.01s kepada Bowie.

    "Saya tidak sangka menang," kata Bowie yang memiliki tabiat melonjakkan dirinya di garisan penamat dalam kejohanan utama selepas melakukan perkara sama dalam acara 200m di Olimpik tahun lalu yang menyaksikannya meraih gangsa.

    "Saya hanya tahu malam ini saya akan jatuh di atas garisan."

    Bowie mengakui dia mungkin perlu berhenti melonjakkan diri atau menjatuhkan diri seperti itu kerana ia memberikan kesakitan buat dirinya.

    "Ia tidak rasa bagus ketika ini," katanya. "Tetapi ia menyelamatkan saya sebelum ini pada kejohanan... saya tidak akan berputus asa sehingga sampai ke penamat.

    "Ta Lou berlari sangat pantas seperti yang selalu dilakukannya, jadi saya tidak bimbang dan teruskan larian.

    "Saya mengalami beberapa luka kecil dan lebam tetapi saya kini fokus untuk acara 200m." - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Bowie kini wanita terpantas dunia "