• Bom DIlontar Ke Dalam Masjid Menjelang Subuh

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    MINNEAPOLIS: Sebutir bom dilontar menerusi tingkap sebuah masjid ketika jemaah bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh, kelmarin.

    Kira-kira 15 hingga 20 orang berada di dalam ruang solat Pusat Islam Dar Al-Farooq di pinggir Minneapolis, Minnesota ketika kejadian berlaku.

    Bagaimanapun, tidak ada siapa yang cedera dan kebakaran yang berlaku selepas bom itu meletup berjaya dipadamkan oleh jemaah.

    Jabatan polis tempatan berkata, siasatan awal menunjukkan letupan itu berpunca daripada bom buatan sendiri.

    Siasatan terhadap kejadian itu kini diserahkan kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

    Pengarah Persatuan Muslim Amerika cawangan Minnesota, Asad Zaman berkata, ada saksi melihat sesuatu dilontar ke dalam masjid itu dari sebuah van atau trak sebelum letupan.

    Pengarah Eksekutif pusat berkenaan, Mohamed Omar berkata, masjid itu sering menerima panggilan atau e-mel ancaman.

    Sehubungan itu, Persatuan Muslim Amerika cawangan Minnesota menawarkan hadiah AS$10,000 (RM42,800) kepada mereka yang dapat memberikan maklumat sehingga penyerang berkenaan ditangkap. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Bom DIlontar Ke Dalam Masjid Menjelang Subuh "