• BNM Langgar Akta, Dagang Wang RM50 Juta Sehari

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    Putrajaya: Pejabat Peguam Negara (AGC) pernah memaklumkan bahawa urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM), tidak mematuhi peruntukan mengikut Akta Bank Negara Malaysia 1958.

    Bekas Penolong Ketua Audit Negara, P Kanason, 78, ketika membaca keterangan saksi di hadapan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing BNM, berkata perkara itu dimaklumkan bekas Ketua Bahagian Penasihat AGC, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid.

    Kanason berkata, beliau meminta nasihat perundangan daripada AGC bagi mendapat kepastian berhubung tindakan BNM memperdagangkan mata wang asing yang mencecah RM50 juta sehari.

    Katanya, beliau kemudian mengaturkan pertemuan dengan Ainum, bagi membincangkan sama ada aktiviti urus niaga itu mengikut Seksyen 31(a) Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan menunggu maklum balas secara bertulis seperti yang dijanjikan.

    "Saya kemudian menghubungi Ainum dan dimaklumkan bahawa "orang atasan cakap jangan campur tangan" dan memberi jaminan untuk memberikan nasihat bertulis supaya Gabenor BNM dan Ketua Audit Negara menyelesaikan perkara itu secara bersama.

    "Saya meminta nasihat perundangan kerana aktiviti urus niaga mata wang asing yang dilakukan oleh BNM, kebiasaannya tidak dilakukan bank pusat negara lain," katanya pada prosiding suruhanjaya siasatan yang masuk hari keempat, semalam.

    Ketika ditanya peguam pemerhati BNM, Datuk Tan Hock Chuan, sama ada surat yang dihantar AGC menyebut bahawa transaksi urus niaga mata wang asing itu tidak semata-mata bersandarkan kepada keuntungan tetapi bertujuan mengukuhkan nilai ringgit.

    Kanason kemudian menjawab: "Ainum tidak pernah mengesahkannya kepada saya."

    Hock Chuan: "Boleh kamu sahkan bahawa AGC mengarahkan Gabenor BNM menyelesaikan perkara itu dengan Ketua Audit Negara?

    Kanason: "Ainum menasihatkan.

    Kanason turut menyatakan, beliau tidak mengetahui sama ada BNM adalah satu-satunya bank pusat yang menjalankan urus niaga mata wang asing bagi mengurus rizab luarnya. - BHOnline

    Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd 

    Subjects:

  • No Comment to " BNM Langgar Akta, Dagang Wang RM50 Juta Sehari "