• Bekas Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM Meninggal Dunia

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Berita Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ismail Mustapa meninggal dunia di Institut Jantung Negara di sini, hari ini akibat paru-paru berair.

    Isteri Allahyarham, Rohani Pin, 70, berkata Ismail, 75 yang lebih dikenali sebagai Tom dalam kalangan rakan-rakannya, menghembuskan nafas terakhir pada 7.22 pagi.

    “Arwah dimasukkan ke IJN Selasa lalu selepas mengadu sesak nafas,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

    Allahyarham yang dilahirkan pada 20 Feb 1942 di Kampung Bagan Lalang Sungai Puyu, Seberang Perai, Pulau Pinang turut meninggalkan tiga anak iaitu Idamurni, 39, Inawarni, 37 dan Izanurni, 35, serta tujuh cucu.

    Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid At-Taqwa sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, petang ini.

    Bekas penuntut Penang Free School itu pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik selama tiga tahun selepas bersara daripada RTM pada 1997.

    Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Datuk Seri Azman Ujang yang berkongsi kesedihan atas berita kematian sahabatnya, berkata sepanjang persahabatannya dengan Allahyarham, Ismail seorang yang sangat gigih dan profesional dalam tugasnya.

    “Saya berharap komimen yang ditonjolkan beliau dapat dicontohi wartawan generasi hari ini supaya dapat memberi yang terbaik kepada organisasi masing-masing,” kata Azman. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM Meninggal Dunia "