• Bayi sukar bernafas perlu bantuan

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+

    SEORANG bayi lelaki berusia dua bulan bukan saja menderita penyakit dagu kecil dikenali sebagai Auricular Condylar Syndrome, malah turut sukar bernafas akibat saluran pernafasan sempit.

    Bayi itu Addin Sufi Shahrizal disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan ketika berusia enam hari di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

    Ibunya Siti Fatimah Othman, 29, berkata selepas pembedahan, anaknya kehilangan suara dan berkemungkinan berdepan masalah percakapan dan pendengaran apabila meningkat usia.

    "Saya diberitahu oleh doktor bahawa anak saya boleh bercakap semula, tetapi mungkin tidak sama seperti insan normal lain.

    "Kini, saya perlu berikan tumpuan sepenuhnya kepada Addin disebabkan dia tiada suara dan saya tidak akan sedar jika dia menangis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung RTP Bukit Mat Insun, Pendang, hari ini.

    Fatimah berkata, bayinya juga perlu menggunakan alat bantuan pernafasan selain mesin penyedut kahak selama setahun sehingga keadaannya pulih.

    Menurutnya, doktor turut menyarankan supaya membeli mesin penyedut kahak, namun suaminya Shahrizal Abu Kasim, 30, hanya bekerja kilang dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

    Katanya, mereka bersyukur mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul yang menyalurkan bantuan mesin penyedut kahak elektrik untuk kegunaan di rumah.

    "Bagaimanapun, Addin memerlukan mesin sedut kahak jenis bateri bagi memudahkannya jika pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan, selain langkah berjaga-jaga jika bekalan elektrik di rumah terputus.

    “Kami pernah berdepan masalah apabila muka Addin tiba-tiba bertukar kebiruan ketika dalam perjalanan ke HSAH, baru-baru ini menyebabkan mesin menggunakan bateri itu amat diperlukan,” katanya.

    Katanya, dia sudah menghantar permohonan kepada Pejabat Zakat Pendang untuk memohon bantuan mesin itu dan berharap orang ramai yang bersimpati dapat menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank 7047652567 atas nama Siti Fatimah Othman.-HMetroOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bayi sukar bernafas perlu bantuan "