• Barcelona gigit jari lagi

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+


    LONDON: Liverpool menolak tawaran kedua dari Barcelona untuk pemain tengah berpengaruh, Philippe Coutinho bernilai 100 juta euro (RM504 juta), kata media British, awal pagi tadi.

    Barcelona terdesak mendapatkan pemain berusia 25 tahun dari Brazil itu untuk menggantikan rakan senegara, Neymar yang dijual dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.12 bilion) ke Paris Saint Germain minggu lalu.

    Bagaimanapun, BBC melaporkan Liverpool sekali lagi memberitahu Barcelona bahawa Coutinho yang ditandatangani dari Inter Milan pada 2013, bukan untuk dijual.

    "Liverpool memberitahu Barca mereka hanya membuang masa jika kembali dengan tawaran ketiga dan menegaskan Coutinho tidak akan menjadi pengganti Neymar di Camp Nou," lapor akhbar Echo.

    Barcelona percaya pemain antarabangsa Brazil itu memiliki kemampuan bukan hanya menggantikan Neymar di samping Lionel Messi dan Luis Suarez dalam barisan tiga penggempur, tetapi juga memberi sokongan buat kapten berusia 33 tahun, Andres Iniesta di bahagian tengah.

    Sekiranya Barcelona gagal dalam usaha membawa Coutinho ke Sepanyol, mereka dijangka memberi tumpuan kepada bintang Perancis, Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund.

    Dembele, 20, terbabit dalam pergaduhan dengan penjaga gol Dortmund, Roman Burki, minggu lalu dan menyatakan keinginan untuk bermain bersama Barca. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Barcelona gigit jari lagi "