• Bapa Gadai Nyawa Selamatkan Anak

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    Bapa melecur 30 peratus ketika menyelamatkan anaknya dalam kejadian kebakaran di rumah di Kampung Rancha-Rancha, Labuan, kira-kira 12 tengah hari ini.

    Shari Abdul Majid, 54, melecur di bahagian belakang badan selepas berjaya menyelamatkan anak lelakinya, Hiraz berusia tiga tahun yang sedang tidur di salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

    Dalam kejadian itu, isterinya Kasirah Beddu, 38, bersama seorang lagi anak perempuan mereka, Nuzirah yang berusia empat tahun terselamat dalam kejadian itu.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Pain Muzal berkata, bomba menerima panggilan pada jam 12.10 tengah hari dan seramai lapan anggota bersama dua jentera dikejar ke lokasi kejadian.

    "Sebaik tiba, sebuah rumah tidak kekal sedang terbakar dan operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan.

    "Api berjaya dipadamkan pada 1.28 tengah hari dan hasil pemeriksaan mendapati seorang penghuni rumah berkenaan cedera ketika menyelamatkan anaknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Pain berkata, semua penghuni terselamat dalam kejadian itu dan mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk diberikan rawatan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bapa Gadai Nyawa Selamatkan Anak "