• Banduan Dilarang Keluarkan Kenyataan

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kenyataan media Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Ogos lalu yang menyentuh isu rusuhan dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah palsu.

    Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara, Supri Hashim, berkata kenyataan itu tidak pernah dikeluarkan oleh Anwar kerana beliau masih menjalani hukuman penjara.

    "Pada tarikh itu juga, Anwar diiringi ke Mahkamah Sivil, Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan yang membabitkan beliau.

    "Anwar dikawal oleh pegawai dan anggota Penjara sepanjang masa ketika berada di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Supri berkata, tiada media dan pihak yang tidak berkaitan dengan perbicaraan dibenarkan berjumpa Anwar sepanjang perbicaraan itu.

    "Gambar yang digunakan bagi tujuan penyiaran kenyataan itu juga bukan gambar ketika Anwar berada di mahkamah pada hari Isnin lalu," katanya.

    Supri berkata, banduan yang masih dalam tahanan dan sedang menjalani hukuman dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa kebenaran dari Jabatan Penjara.

    Katanya, larangan itu antara ketetapan prosedur penjara.

    Portal berita melaporkan kenyataan Anwar berhubung kebimbangannya terhadap keganasan akan meningkat menjelang PRU-14 selepas kekecohan pada forum 'Nothing To Hide 2.0', Ahad lalu.

    Subjects:

  • No Comment to " Banduan Dilarang Keluarkan Kenyataan "