• 'Balik Rumah Rupanya'

    Published: Monday, 14 August 2017
    A- A+

    BINTANGOR: Seorang anak kapal yang dilaporkan hilang di Sungai Mupong Ulu di sini, sejak Jumaat lalu, didapati pulang ke Daro untuk berjumpa keluarganya.

    Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin, berkata keadaan Hussien Mahli, 50, dimaklumkan oleh abangnya yang menghubungi pihak berkuasa selepas berita kehilangannya disiarkan BH Online, malam tadi.

    "Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat lelaki itu dihentikan serta-merta malam tadi," katanya.

    Hussien dikatakan meninggalkan kapal tempatnya bekerja Jumaat lalu dengan menaiki sebuah perahu.

    Bagaimanapun, dia tidak kembali ke kapal dan rakannya yang bimbang tampil membuat laporan di Balai Polis Meradong pada jam 11.47 pagi semalam.

    Susulan laporan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor bersama polis bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 40 minit menggunakan bot dari Bintangor itu.

    Gerakan mencari dan menyelamat yang dilakukan sepanjang sungai berkenaan bagaimanapun tidak menemui sebarang petunjuk perahu yang dinaikinya karam. - BHOnline
  • No Comment to " 'Balik Rumah Rupanya' "