• Babi Kerap Masuk Kawasan Masjid

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+

    SEREMBAN: Kehadiran sekumpulan babi yang memasuki perkarangan Masjid Kariah Dato Kelana Petra Mubarak Al Haj, Ampangan membimbangkan jemaah berikutan menimbulkan banyak masalah.

    Imam Satu masjid berkenaan, Datuk Muhamad Yasin berkata, babi itu memasuki kawasan masjid sejak tiga hari lalu kerana habitat asalnya mengecil.

    Katanya, haiwan itu sebelum ini mendiami kawasan di Bukit Tabuh di belakang masjid, namun kawasan terbabit diterokai sebagai projek perumahan.

    “Disebabkan itu, ia kerap masuk ke kawasan masjid untuk mencari makan,” katanya ketika ditemui, semalam.

    Muhamad berkata, penduduk memberitahu babi itu turut berkeliaran di sekitar kawasan perumahan berdekatan sejak awal tahun ini.

    “Kami bimbang haiwan ini akan menyondol jemaah dan meninggalkan najis. Di masjid ini juga kelas pengajian pada petang dibuka dan dibimbangi menakutkan pelajar,” katanya.

    Menurutnya, pihaknya sudah membuat aduan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung berhampiran serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

    “Kakitangan PERHILITAN pernah datang ke sini beberapa bulan lalu untuk memasang perangkap namun haiwan ini masih banyak. Selalunya babi dewasa akan datang dalam lima ekor pada satu masa dan tindakan berkesan perlu dibuat,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Babi Kerap Masuk Kawasan Masjid "