• Aznil Naikkan Semangat Sukan Dengan Lagu Sudirman

    Published: Sunday, 20 August 2017
    A- A+

    Masih lagi berkisar tentang majlis perasmian Sukan SEA 29 (KL2017) yang telah diadakan malam tadi. Jika kecantikan lampu-lampu dan juga stadium itu dipuji oleh netizen, tidak kurang juga ramai yang memuji persembahan Pak Nil pada pembukaan majlis tersebut.

    Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Aznil Hj. Nawawi? Pengacara tersohor tanah air ini telah diberi kepercayaan oleh penganjur untuk membuat persembahan dengan mendendangkan lagu pilihannya daripada Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

    Beliau yang mendendangkan lagu Hoore! Hoore! itu yakin yang lagu tersebut mampu menaikkan semangat penonton sama ada yang berada di Stadium Nasional Bukit Jalil mahupun yang berada di rumah.

    Pak Nil yang merasakan peluang beraksi pada majlis itu sebagai suatu penghormatan kepadanya sekaligus menguatkan semangatnya untuk beraksi dan memberikan yang terbaik.

    “Biarpun kemunculan saya hanyalah untuk acara pembukaan atau ‘pemanas badan’ sebelum majlis perasmian, namun saya tidak pandang ringan.

    “Kepercayaan diberi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan penganjur termasuk bekas pengurus Sudirman, Dani’el Dharanee Kannan menambah keyakinan saya untuk beraksi dengan lebih baik,” katanya memetik laporan BH Online.

    Pengacara program Macam-Macam Aznil ini turut melakar kenangan terindah peribadinya dengan iringan kereta-kereta yang dibawa masuk ke dalam stadium. Dikhabarkan selebriti berumur 54 tahun ini bebas untuk mencorakkan persembahannya pada malam tersebut.

    “Pada awalnya, saya mahu membawa bas pelancongan, KL Hop-In Hop-Off ke dalam stadium. Namun, disebabkan keadaan stadium yang diubah suai selain tidak mahu merosakkan trek, hasrat itu terpaksa dilupakan,” tambahnya lagi.

    Haaa… jangan tak tahu. Pak Nil sekali lagi bakal membuat persembahan pada majlis penutup yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini. Beliau yang bakal bergandingan dengan Atai, anak saudara Sudirman itu akan menyanyikan lagu Balik Kampung dan Jalur Gemilang. Pasti pengalaman ini menjadi kenangan terindah sepanjang 28 tahun pembambitannya dalam industri hiburan tanah air.

    Jangan lupa sama-sama kita beri sokongan kepada atlet-atlet tanah air dalam Sukan SEA kali ini dan sama-sama penuhkan Stadium Bukit Jalil pada majlis penutupan nanti! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Subjects:

  • No Comment to " Aznil Naikkan Semangat Sukan Dengan Lagu Sudirman "