• Anggota ATM Terlibat Op Daulat 2013 Terima Pingat Keberanian

    Published: Saturday, 12 August 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU - Sebanyak 61 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat menentang pengganas dalam Op Daulat 2013 dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) atas jasa dan pengorbanan kepada tanah air.

    Selain anggota terbabit, panji-panji bagi kesemua 24 rejimen ATM yang terlibat dalam Op Daulat turut dipasangkan pingat itu yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Kesemua pingat berkenaan disampaikan bersempena Perbarisan Penganugerahan 'Battle Honour' Daulat Februari 2013 di Padang Merdeka di sini malam tadi.

    Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharom; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

    Hadir sama, Panglima Tentera Darat Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

    Pada 12 Februari 2013, kawasan timur Sabah telah dikejutkan de­ngan kehadiran 200 penceroboh bersenjata yang diketuai pengganas Agbimuddin Kiram.

    Berikutan itu, Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac 2013 selepas kejadian serangan hendap oleh pengganas Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna yang mengorbankan nyawa 10 anggota keselamatan.

    Operasi berkenaan menyaksikan 8,147 anggota keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terlibat dalam tugas-tugas khas di barisan hadapan bagi mempertahankan kedaulatan negara.

    Dalam tempoh berkenaan, seramai 72 orang penceroboh berjaya ditembak mati, lima cedera, 551 lagi ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan di bawah pelbagai kesalahan.

    Sementara itu, Hishammuddin dalam ucapannya berkata, majlis malam ini memberi makna kepada setiap rakyat untuk tidak lupa dengan kejadian tersebut serta sentiasa menghargai sumbangan yang diberikan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.

    "Malam ini kita raikan setiap anggota keselamatan yang telah berkhidmat, kejadian berkenaan membuktikan bagaimana tingginya tahap keberanian dan patriotisme setiap anggota.

    "Saya sedar anugerah ini tidak setimpal dengan khidmat bakti tuan-tuan tetapi anggaplah ia sebagai penghargaan serta rasa terima kasih kerajaan dan setiap rakyat yang mampu membakar semangat setiap anggota untuk terus berkhidmat," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Anggota ATM Terlibat Op Daulat 2013 Terima Pingat Keberanian "