• ADUN Kepayan Keluar DAP

    Published: Thursday, 31 August 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Dr Edwin Bosi, mengumumkan keluar DAP sekali gus meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Sabah, semalam.

    Edwin berkata, keputusan itu diambil kerana wujudnya perbezaan antara beliau dengan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, sebagai faktor utama peletakan jawatan itu.

    "Selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin DAP Cawangan Penampang, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai ahli dan Timbalan Pengerusi DAP Sabah.

    "Saya juga sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha DAP Sabah pada 24 Ogos lalu. Saya terpaksa meninggalkan parti bagi `membenarkan keharmonian dalam DAP Sabah berterusan'. Sebelum ini, DAP Sabah yang diterajui oleh Wong juga pernah mahu memecat saya.

    "Kemudian, saya dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti yang kemudian memutuskan saya digantung daripada menjalankan tugas-tugas parti bagi tempoh tiga bulan, tanpa dipanggil untuk mempertahankan diri. Tempoh penggantungan itu berakhir hujung bulan ini," katanya.

    Buat masa ini, Edwin berkata, beliau akan kekal sebagai ADUN bebas sebelum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik tempatan di negeri ini.

    "Saya merakamkan terima kasih kepada penyokong yang mengundi saya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Saya juga akan terus berjuang untuk memastikan pribumi Sabah dan rakyat negeri ini keseluruhannya mendapat pembelaan sewajarnya, seperti yang saya lakukan menerusi parti DAP selama ini.

    "Saya tidak mempunyai dendam kepada DAP dan pemimpinnya termasuk di peringkat nasional. Saya juga merakamkan terima kasih kepada DAP kerana memberi saya kesempatan untuk menjadi ADUN," katanya.

    Sementara itu, pada April lalu, Edwin mengugut akan bertanding sebagai calon Bebas atau menyertai parti lain jika namanya tidak dicalonkan semula pada PRU14.

    Edwin dilaporkan sebagai berkata, beliau menunggu Pengerusi DAP Sabah untuk memberikan keputusan mengenai kedudukannya berikutan khabar angin yang mengatakan beliau tidak lagi dicalonkan semula di kerusi Kepayan.

    Edwin yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah memenangi kerusi Kepayan pada PRU13 atas tiket DAP dengan mendapat 13,020 undi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " ADUN Kepayan Keluar DAP "