• Abdul Karim Cabar Nazri Aziz Datang Ke Sarawak

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    KUCHING: Datanglah ke Sarawak dan jelaskan pembahagian kutipan Cukai Pelancongan yang akan berkuatkuasa pada 1 September depan di seluruh negara, demikian tegas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Nazri Aziz.

    "Mengapa sukar sangat untuk beliau datang ke Sarawah dan Sabah untuk menerangkan kepada Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg atau negeri?" katanya ketika diminta mengulas komen Nazri kelmarin.

    Katanya, kerajaan negeri akur cukai tersebut dibahagi tiga namun semalam beliau mengumumkan kutipan Cukai Pelancongan akan dibahagikan kepada semua negeri.

    "Kita tidak memulakannya, kita hanya komen kenyataan beliau (Nazri). Dia sendiri yang mengatakan kutipan Cukai Pelancongan akan dibahagi sama rata kepada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah," ujarnya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Karim memberitahu ia bukan sesuatu yang datang di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan negeri sebaliknya ia persoalan mengenai hak Sarawak.

    "Sarawak tetap kekal dengan pendirian 30 peratus perolehan daripada kutipan Cukai Pelancongan," tegas beliau.

    Ujarnya, tuntutan pembahagian perolehan tersebut telah dipersetujui oleh Sarawak dan Sabah di dalam memorandum bersama kerajaan persekutuan. - Sarawakiana
  • No Comment to " Abdul Karim Cabar Nazri Aziz Datang Ke Sarawak "