• 532 Wanita Positif Kanser Payudara

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seramai 532 wanita daripada 337,534 wanita didapati positif menghidap kanser payudara menerusi menerusi Program Subsidi Ujian Mamogram dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), sejak 10 tahun lalu.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 32,964 kes diklasifikasikan bawah pemeriksaan lanjut di bawah ujian sama.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata kini kesedaran wanita membuat pemeriksaan klinikal payudara di klinik dan hospital semakin meningkat.

    Katanya, kanser payudara tetap menjadi pembunuh utama dan berharap lebih ramai wanita di luar bandar membuat pemeriksaan sebagai langkah pengesanan dan pencegahan awal terhadap risiko penyakit itu.

    "Kita mempunyai kira-kira 15 klinik bergerak dan 50 klinik Sejahtera yang disediakan di setiap negeri yang disediakan secara meluas dan percuma itu," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan pra-pelancaran WomenFest Malaysia (WFM) yang akan diadakan di pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE pada 28 dan 29 Oktober ini, di Hotel Hilton, hari ini.

    WFM adalah festival fesyen, kecantikan dan gaya hidup yang disasarkan untuk wanita khususnya di Lembah Klang anjuran Firm Motion Sdn Bhd (Firm Motion) dengan kerjasama kementerian itu dan Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing (LUCT).

    Hadir sama, Naib Presiden LUCT, Datuk Tiffanee Marie Lim, jurucakap Firm Motion, Zairul Haziq dan Pengarah Bahagian Gaya Hidup Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof dan duta WFM, Aishah Sinclair.

    Rohani berkata, statistik Kajian Penduduk Keluarga Malaysia Kelima yang dijalankan LPPKN mendapati 75.5 peratus daripada 5,738 wanita negara ini pernah melakukan pemeriksaan sendiri payudara menyaksikan semakin ramai wanita sedar dan mengambil berat kesihatan payudara.

    "Statistik sama mendapati 64.5 peratus wanita mendapatkan pemeriksaan klinikal payudara di klinik atau hospital dan membuat tindakan selanjutnya.

    "Kita mengalu-alukan wanita mengambil langkah pencegahan seperti gaya hidup sihat, melakukan pemeriksaan rutin selain mengambil peluang mengikuti ujian mamogram yang percuma untuk mereka berpendapatan kurang RM10,000.

    "Kita juga menyediakan subsidi RM50 bagi mereka yang mempunyai pendapatan lebih daripada RM10,000 dengan kadar kos ujian mamogram antara RM150 hingga RM350,"katanya.

    Katanya, ujian mamogram kaedah saringan payudara yang terbukti berkesan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 532 Wanita Positif Kanser Payudara "