• 5 Pemain Import Dapat Tingkat Nilai Liga M - TMJ

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yakin cadangan untuk menambah kuota lima pemain import musim depan akan dapat meningkatkan nilai Liga Malaysia (Liga-M) sekali gus mengukuhkan kewangan pasukan dan kelab yang bertanding.

    Ketika ini, FAM menetapkan peraturan kuota 3+1 (Asia) dan Tunku Ismail berpendapat sudah tiba masanya perubahan dibuat dengan menambah satu lagi kuota pemain import dari Asia Tenggara.

    “Saya cadangkan agar kuota pemain import ditambah. Bagi saya 3 tambah 1 pemain Asia dan 1 pemain Asia Tenggara boleh meningkatkan nilai liga kita, menarik lebih ramai penonton serta akan membantu kewangan pasukan yang bertanding.

    “Saya bagi contoh Andik Vermansyah yang bermain dengan Selangor, ramai peminat Indonesia yang mengikuti pasukan Selangor. Kalau ada pemain import dari Thailand, Filipina, Laos, Myanmar dan Singapura, ia akan menarik lebih ramai penonton serta meningkatkan nilai liga tempatan,” katanya dalam sesi forum Face Off bersama Presiden FAM kelmarin.

    Bagaimanapun, ada pihak kurang senang dengan cadangan penambahan pemain import itu memandangkan isu pembayaran gaji tertunggak masih berlaku serta kebimbangan lebih ramai pemain tempatan tidak mendapat tempat dalam skuad utama.

    Malah, jurulatih Harimau Malaya Nelo Vingada dalam Arena Metro sebelum ini melaporkan bahawa beliau menganggap kuota pemain import dalam Liga Super perlu dikekalkan manakala kuota pemain import bagi Liga Perdana perlu dikurangkan.

    Bagaimanapun, Tunku Ismail berkata, pemain tempatan perlu mendapat tempat dalam pasukan atas dasar merit bukan kerana status sebagai pemain tempatan.

    “Sampai bila kita nak buai macam budak-budak (pemain tempatan). Pemain tempatan kita tak boleh berasa selesa, mereka kena bersaing merebut tempat. Memang keutamaan kita kepada pemain tempatan tapi adalah lebih baik pasukan bermain dengan pemain berkualiti.

    “Dan untuk pasukan pula, berbelanja ikut kemampuan... kalau ada kuota lima pemain import, kalau tak mampu, beli tiga saja kerana ia bukan wajib. Tapi ini pandangan saya saja, mungkin anda semua ada pandangan berbeza,” katanya yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

    Tunku Ismail turut menepis dakwaan bahawa beliau bersikap pentingkan diri sendiri dengan hanya memikirkan soal kelab Johor DT apabila menyokong idea penambahan pemain import.

    “Kalau saya pentingkan diri sendiri, saya tidak akan berbincang dengan ASTRO untuk minta beri RM5 juta kepada setiap pasukan. Ini menunjukkan saya ingin menolong pasukan dan kelab lain,” jelasnya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 5 Pemain Import Dapat Tingkat Nilai Liga M - TMJ "