• 3 Didakwa Buat Komen Jelik Terhadap PM

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang pegawai pengambilan pekerja didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan membuat komen bersifat jelik di laman sosial Facebook terhadap Perdana Menteri.

    Nor Sabariah Abdul Kadir, 29; penjaga stor; Ng Thai Quen, 19 dan penebar roti canai, Mazlan Yusoff, 48, selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zainal L Salleh.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Nor Sabariah dan Thai Quen didakwa menggunakan nama profil masing-masing di laman FB secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

    Komen Nor Sabariah dibaca jam 9 pagi, pada 2 Februari lalu, manakala Thai Quen jam 3 petang, 16 Disember tahun lalu.

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, antara 15 Disember 2016 dan 1 Februari lalu.

    Sementara itu, Mazlan didakwa menggunakan nama 'Zain Al Aznam' di laman FB secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain dan dibaca jam 8.06 pagi, pada 14 November tahun lalu.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 2, Jalan Bandar 13, Taman Melawati, kira-kira jam 2.53 pagi, pada 11 November tahun lalu.

    Pendakwaan terhadap OKS dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan OKS, masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Didakwa Buat Komen Jelik Terhadap PM "