• 3 Beradik Terabai, Di Bawah Jagaan JKM 30 Hari

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Tiga beradik yang didakwa ditinggalkan ibu bapa tanpa pengawasan di sebuah rumah kedai di Larkin Perdana, Johor Bahru akan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) selama 30 hari bagi membolehkan jabatan itu melakukan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata dalam tempoh berkenaan, pihak JKM akan menjalankan siasatan dan mengadakan perbincangan dengan pihak polis mengenai keadaan ibu bapa kanak-kanak itu dari aspek kesesuaian, keselamatan wang dan sosial.

    Beliau berkata tiga beradik iaitu dua perempuan dan seorang lelaki yang berusia setahun hingga enam tahun itu ditempatkan di Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Johor Bahru dan berada dalam keadaan sihat.

    “Prosedur JKM memerlukan 30 hari menjalankan dan melengkapkan siasatan dan selepas itu, barulah boleh membuat keputusan. Kemungkinan laporan itu akan diterima esok atau lusa tetapi tiga beradik kena berada di pusat perlindungan selama 30 hari,” katanya ketika diminta mengulas status tiga kanak-kanak itu.

    Rohani berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek ‘NAWEM (Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia)-L’OREAL Women In Business, Townhall Perwani 1Malaysia Tahun 2017 di sini hari ini.

    Pada Khamis lepas, JKM menyelamatkan tiga beradik itu yang ditinggalkan dalam keadaan tidak terurus di sebuah rumah kedai di Larkin Perdana selepas dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu bapa mereka. Kes ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan turut mendapat perhatian orang ramai selepas tular di media sosial.

    Hari ini, Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilaporkan berkata ibu bapa kepada tiga kanak-kanak itu yang berusia 32 dan 21 tahun dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan di rumah mereka pada 10 malam semalam bagi membantu siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

    Mengulas lanjut, Rohani menegaskan aspek keselamatan kanak-kanak itu merupakan keutamaan pihaknya dan akan menjaga kebajikan mereka sehingga kes ini selesai.

    “Ibu bapa masih belum boleh tuntut anak-anak mereka kerana kes belum selesai lagi. Kami pun masih siasat dan menunggu laporan penuh sebelum membuat apa-apa keputusan. Kami masih berbincang lagi dengan polis mengenai apakah yang telah berlaku, sama ada ada pengabaian atau penderaan atau lain-lain.

    Rohani berkata ibu bapa atau keluarga tiga beradik itu dibenarkan untuk melawat kanak-kanak itu tetapi mereka perlu berjumpa dan memaklumkan kepada pegawai JKM tujuan perjumpaan itu.

    “Bagi pihak keluarga yang ingin berjumpa kanak-kanak itu, mereka juga perlu membuat permohonan kepada pihak JKM dan memberitahu apakah hubungan dengan mereka dan sebab hendak berjumpa. Kelulusan permohonan itu juga bergantung kepada keadaan kerana kita tidak mahu ada kes lain seperti melarikan budak daripada jagaan JKM,” katanya.

    Ditanya mengenai keadaan kesihatan tiga beradik itu, Rohani berkata: “Buat masa ini, mereka tidak ada masalah. Kita sudah merujuk mereka di hospital. Kesihatan mereka stabil buat masa ini dan mereka juga sihat dari segi fizikal. Itulah sebab kami kena ambil 30 hari ini untuk melihat perkembangan mental, fizikal dan emosi mereka.” – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Beradik Terabai, Di Bawah Jagaan JKM 30 Hari "