• 201 Kanak-Kanak Maut Di Yaman Sejak Awal Tahun 2017

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+


    SANAA – Sejak awal 2017 hingga kini, seramai 201 kanak-kanak terkorban akibat perang saudara di Yaman , lapor agensi berita Xinhua.

    Daripada jumlah itu, 152 adalah kanak-kanak lelaki dan selebihnya perempuan, kata wakil Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Yaman, Meritxell Relano menerusi akaun twitternya semalam.

    Relano berkata, seramai 377 kanak-kanak lelaki juga direkrut untuk berperang, lapor agensi berita China Xinhua.

    Kenyataan berkenaan, dikeluarkan tiga hari selepas tentera bersekutu, diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara mengakibatkan enam kanak-kanak dan tiga wanita maut selepas rumah mereka di Mahdha, Saada terkena bedilan peluru.

    Selepas dua tahun perang meletus, lebih 10,000 orang kebanyakannya penduduk awam terbunuh manakala 3 juta lagi hilang tempat tinggal.

    Pada Mac 2017, UNICEF menganggarkan jumlah keseluruhan kanak-kanak menjadi korban seramai 1,546 sementara 2,450 lagi cedera.

    Selain berdepan perang saudara, penduduk terus dicengkam derita apabila Yaman turut dilanda kebuluran dan wabak taun, menyebabkan lebih ramai penduduk dan kanak-kanak menjadi korban.

    Perang bermula pada Mac 2015 menyaksikan pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak Houthi.

    Pertempuran kian meruncing apabila pasukan bersekutu diketuai Arab Saudi campur tangan dengan melancarkan kempen serangan udara berskala besar bertujuan mengembalikan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 201 Kanak-Kanak Maut Di Yaman Sejak Awal Tahun 2017 "