• 2 Wanita Maut Kemalangan Di Jalan Kuching - Serian

    Published: Wednesday, 16 August 2017
    A- A+

    KUCHING: Dua wanita maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Batu 11, Jalan Kuching-Serian di sini awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialami.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Audrey Kymberlee Patrick, 28, manakala identiti seorang lagi belum diketahui.

    Menurutnya, pemandu kereta jenis Toyota Vios yang berusia 27 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    "Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian itu kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Wave dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Serian menuju ke pusat bandar raya Kuching.

    "Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi nahas motosikal yang dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta di laluan bertentangan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

    "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya lagi. - K! ONLINE

  • No Comment to " 2 Wanita Maut Kemalangan Di Jalan Kuching - Serian "